PAS mengucap tahniah di atas tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan Zakir Naik untuk terus berada di Malaysia sebagai warga pemastautin tetap.
"... daripada dihantar kembali ke India bagi menghadapi pelbagai tuduhan rekaan kerajaan India," kata Timbalan Presiden PAS. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Selaras dengan kedudukannya sebagai pemastautin tetap, memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela dan mempertahankan maruah beliau," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tegas perdana penteri mempertahankan Zakir, tegas Tuan Ibrahim, adalah satu langkah tepat selaras dengan dasar Islam melindungi umatnya daripada menjadi mangsa penganyanyaan dan kezaliman di mana sahaja.
"PAS tegas dengan prinsip menyokong dan mendokong segala tindakan makruf yang diambil oleh pihak kerajaan, dan menentang kemungkaran dan perpecahan.
"Ini adalah selaras dengan dasar budaya politik matang dan sejahtera dan konsep At-taawun yang diamalkan oleh parti," tegas Tuan Ibrahim.
Perdana menteri sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak akan mengusir pendakwah bebas Dr Zakir Naik selagi beliau tidak menimbulkan masalah.
Ini kerana katanya Zakir telah diberikan status pemastautin tetap di negara ini.
Zakir yang didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram meninggalkan India pada 2016.
Kerajaan India telah membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan agar hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India bagi membantu siasatan.
Rabu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun juga menafikan laporan Zakir akan dihantar pulang ke India dan berkata tiada sebarang arahan dikeluarkan berkenaan perkara itu.
